Masa musim Tahun Baru Cina baru ni Mak Long beli 2 kilo ikan kembung dipasar. Lepas tu jenuh lah Maklong nak menghabiskannya dan sampai kehabisan idea nak mengolahnya. Atuk Abah pulak sampai dah jemu tengok ikan kembung. Asyik-asyik ikan kembung. Kerabu ni Maklong dah buat minggu lepas tapi baru nak blog hari ini. Dah lama Maklong tak buat kerabu ikan. Kalau di UK dulu Maklong gunakan ikan mackerel salai (smoked mackerel). Kerabu ni sebenarnya terhasil dari lebihan pindang ikan kembung yang Maklong buat pada hari sebelumnya. Kalau nak buat guna ikan kembung fresh bolehlah bakar dulu atau goreng dulu ikan tersebut. Resepi lebih kurang seperti smoked mackerel salad yang Maklong pernah buat dulu.
Bahannya:
2 ekor ikan kembong yang telah dimasak diambil isinya sahaja dan disiat-siat
1 biji bawang besar dihiris nipis dan dileraikan
1 biji tomato dihiris nipis
1 batang serai dihiris nipis bulat-bulat
2 pokok daun ketumbar dimayang halus
sedikit parutan kulit lemon
Untuk sosnya:
5 biji cili padi dicincang halus atau ditumbuk
1 sudu sos ikan
1 sudu besar jus lemon
2 sudu minyak zaitun
1 sdk minyak bijan
Masukkan kesemuanya bahan kecuali bahan sos kedalam sebuah mangkuk dan gaulkan rata. Campurkan kesemua bahan sos kedalam mangkuk kecil dan pukul hingga sebati. Rasa terlebih dahulu. Tambahkan sos ikan atau jus lemon sekiranya perlu. Curahkan sos kedalam mangkuk besar tadi dan gaulkan sehingga rata.









