"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Minta bantuan orang ramai kesan guru wanita hilang

BERNAMA
NUR Nazalishah Ahmad. FOTO media sosial
NUR Nazalishah Ahmad. FOTO media sosial
Ipoh: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang guru perempuan berusia 43 tahun yang dilaporkan sejak 10 Disember lalu.

Nur Nazalishah Ahmad yang tinggal di Taman Lapangan Harmoni di sini kali terakhir dilihat berada di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kehilangan wanita itu dibuat oleh adiknya di Balai Polis Tampoi, Johor.

"Mengikut laporan awal yang diterima, wanita berkenaan dilaporkan hilang kerana dipercayai mempunyai masalah rumah tangga," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Menteri hisap rokok di kedai makan sudah bayar kompaun

‘Berasap’ di kedai makan, Tok Mat dah bayar kompaun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Luar Mohamad Hasan berkata beliau sudah membayar kompaun selepas dikenakan notis akibat merokok di sebuah kedai makan di Seremban baru-baru ini.

Mohamad atau dikenali sebagai Tok Mat itu berkata, beliau menjelaskan kompaun yang dikenakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban itu sehari selepas menerima notis berkenaan, lapor Harian Metro.

“Saya sudah bayar kompaun… Alhamdulillah, tiada apa lagi yang berbangkit.

“Syukurlah kompaun yang dikenakan itu tidak terlalu tinggi dan semuanya selesai,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Bagaimanapun, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau itu enggan mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap beliau.

Sebelum ini, tular foto Mohamad yang dilihat memegang sebatang rokok ketika duduk bersama sekumpulan lelaki di sebuah restoran di Seremban.

Pada Rabu lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata notis akan diberikan kepada Mohamad selepas beliau sendiri minta dikompaun atas kesalahan itu.

Dzulkefly berkata tiada sesiapa pun terkecuali daripada penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata, Akta 852 yang berkuat kuasa 1 Okt lalu akan dilaksanakan tanpa pilih kasih.

Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, sesiapa yang didapati merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun, manakala pemilik perniagaan yang gagal mempamer papan tanda larangan merokok boleh didenda sehingga RM3,000 atau dipenjara sehingga enam bulan.

Seksyen 16 Akta 852 pula memperuntukkan individu merokok di kawasan larangan merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000

Polis Indonesia tahan 18 pegawai peras ugut rakyat Malaysia

Malaysiakini 

Polis Indonesia menahan 18 pegawai yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan terhadap warga Malaysia yang menghadiri festival muzik Djakarta Warehouse Project (DWP) pada 13 Disember lalu.

Pegawai yang ditahan itu dari pelbagai unit termasuk Polda Metro Jaya, Polres Metro Jakarta Pusat, dan Polsek Metro Kemayoran dan kini sedang disiasat, menurut agensi berita Indonesia, Antara.

"Bahagian Propam (Profesi dan Pengamanan Kepolisian Republik Indonesia) telah menahan 18 pegawai yang disyaki bertugas semasa kejadian.

“Kesemua mereka akan disiasat lanjut untuk memastikan sebarang pelanggaran ditangani," kata Brigedier Jeneral Trunoyudo Wisnu Andiko, Ketua Biro Maklumat Awam Polis Nasional Indonesia.

Kes ini terbongkar selepas seorang pengguna media sosial di X, @Twt_Rave, mendakwa lebih 400 peserta dari Malaysia menjadi mangsa penahanan sewenang-wenangnya dan ujian air kencing secara paksa.

Pengguna itu mendakwa pegawai polis meminta sejumlah wang termasuk daripada mereka yang didapati negatif dadah.

"Didakwa bahawa pegawai polis telah memeras penonton dari Malaysia sehingga berjumlah 9 juta Ringgit (kira-kira Rp32 bilion)," kata pengguna tersebut.

Polis Nasional Indonesia berjanji menjalankan siasatan secara telus terhadap dakwaan itu bagi mengekalkan kepercayaan awam dan memastikan akauntabiliti dalam pasukan polis.

"Polis Nasional tidak akan bertoleransi terhadap sebarang pelanggaran yang dilakukan oleh anggotanya.

"Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang salah laku, tanpa mengira pangkat atau jawatan," tegas Brigedier Jeneral Trunoyudo.

Insiden ini telah mencetuskan kemarahan awam, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia.