Perjanjian ini ditulis dalam bahasa Inggeris (US). Sekiranya versi terjemahan perjanjian ini bercanggah dengan versi bahasa Inggeris, versi bahasa Inggeris diutamakan. Sila ambil perhatian bahawa Seksyen 16 mengandungi perubahan tertentu kepada terma umum untuk pengguna di luar Amerika Syarikat.
Tarikh Semakan Terakhir: 30 Januari 2015
Pernyataan Hak dan TanggungjawabPernyataan Hak dan Tanggungjawab ("Pernyataan", "Terma" atau "SRR") diambil/diceduk daripada Prinsip Facebook, dan merupakan terma perkhidmatan kami yang mentadbir hubungan kami dengan pengguna dan orang lain yang berinteraksi dengan Facebook, dan juga jenama, produk dan perkhidmatan Facebook, yang kami panggil “Perkhidmatan Facebook” atau “Perkhidmatan”. Dengan menggunakan atau mengakses Perkhidmatan Facebook, anda bersetuju kepada Pernyataan ini, seperti yang dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut Seksyen 13 di bawah. Di samping itu, anda akan mendapati sumber di bahagian akhir dokumen ini yang membantu anda memahami cara Facebook bekerja.
Oleh sebab Facebook menyediakan pelbagai jenis Perkhidmatan, kami mungkin meminta anda untuk menyemak dan menerima terma tambahan yang terpakai pada interaksi anda dengan aplikasi, produk atau perkhidmatan tertentu. Sekiranya terma tambahan tersebut bercanggah dengan SRR ini, terma tambahan yang dikaitkan dengan aplikasi, produk atau perkhidmatan akan terpakai berkaitan penggunaan anda bagi aplikasi, produk atau perkhidmatan yang seumpamanya hanya setakat percanggahan tersebut.
- Privasi
Privasi anda adalah sangat penting bagi kami. Kami telah mereka Dasar Data kami untuk membuat pendedahan penting mengenai cara anda boleh menggunakan Facebook untuk berkongsi dengan orang lain dan cara kami mengumpul dan boleh menggunakan kandungan dan maklumat anda. Kami menggalakkan anda membaca Dasar Data, dan menggunakannya untuk membantu anda membuat keputusan yang dimaklumkan.
- Perkongsian Kandungan dan Maklumat Anda
Anda memiliki semua kandungan dan maklumat yang anda kirimkan di Facebook, dan anda boleh mengawal cara ia dikongsi melalui privasi dan tetapan aplikasi anda. Tambahan lagi:- Untuk kandungan yang dilindungi oleh hak harta intelektual, seperti foto dan video (kandungan IP), anda secara khusus memberi kami kebenaran berikut, tertakluk kepada tetapan privasi dan aplikasi: anda: anda memberikan kami lesen seluruh dunia yang tidak eksklusif, boleh dipindah milik, sub-lesen, tanpa royalti, untuk menggunakan mana-mana kandungan IP yang anda siarkan atau yang berkaitan dengan Facebook (Lesen IP). Lesen IP ini tamat apabila anda memadamkan kandungan IP anda atau akaun anda kecuali kandungan anda telah dikongsi dengan orang lain, dan mereka belum lagi memadamkannya.
- Apabila anda memadamkan kandungan IP, ia dipadamkan dengan cara yang serupa seperti mengosongkan tong kitar semula pada komputer. Walau bagaimanapun, anda memahami bahawa kandungan yang dibuang masih wujud dalam salinan sandaran untuk tempoh masa yang munasabah (tetapi tidak akan tersedia untuk orang lain).
- Apabila anda menggunakan sesuatu aplikasi, aplikasi tersebut boleh meminta kebenaran anda untuk mengakses kandungan dan maklumat anda serta kandungan dan maklumat orang lain yang telah berkongsi dengan anda. Kami memerlukan aplikasi untuk menghormati privasi anda, dan perjanjian anda dengan aplikasi tersebut akan mengawal bagaimana aplikasi tersebut boleh menggunakan, menyimpan, dan memindahkan kandungan dan maklumat. (Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Platform, termasuk bagaimana anda boleh mengawal maklumat yang orang lain boleh berkongsi dengan aplikasi, baca Dasar Data dan Halaman Platform kami.)
- Apabila anda menerbitkan kandungan atau maklumat menggunakan tetapan Awam, ia bermakna anda membenarkan setiap orang, termasuk orang yang di luar Facebook, untuk mengakses dan menggunakan maklumat tersebut, dan mengaitkannya dengan anda (iaitu, nama dan gambar profil anda).
- Kami sentiasa menghargai maklum balas atau cadangan anda yang lain mengenai Facebook, tetapi anda memahami bahawa kami mungkin menggunakan maklum balas atau cadangan anda tanpa sebarang kewajipan untuk membayar pampasan kepada anda untuk mereka (sebagaimana anda tidak mempunyai kewajipan untuk menawarkan mereka).
- Keselamatan
Kami melakukan yang terbaik untuk memastikan Facebook adalah selamat, tetapi kami tidak boleh menjaminnya. Kami memerlukan bantuan anda untuk memastikan Facebook adalah selamat, termasuklah komitmen berikut oleh anda:- Anda tidak dibenarkan menyiarkan komunikasi komersial yang tidak dibenarkan (seperti spam) di Facebook.
- Anda tidak dibenarkan mengumpulkan kandungan atau maklumat pengguna, atau mengakses Facebook, menggunakan cara automatik (seperti mengumpulkan bot, robot, lelabah atau pengikis) tanpa kebenaran kami.
- Anda tidak dibenarkan terlibat dalam pemasaran berbilang aras yang tidak mengikut undang-undang, seperti skim piramid, di Facebook.
- Anda tidak dibenarkan memuat naik virus atau kod berniat jahat yang lain.
- Anda tidak dibenarkan meminta maklumat log masuk atau mengakses akaun yang dipunyai oleh orang lain.
- Anda tidak dibenarkan membuli, menakut-nakutkan atau mengganggu mana-mana pengguna.
- Anda tidak dibenarkan menyiarkan kandungan yang: berunsur ucapan kebencian, ugutan atau pornografi; menghasut keganasan atau mengandungi kebogelan atau grafik atau keganasan yang tidak sepatutnya.
- Anda tidak dibenarkan membangunkan atau mengendalikan aplikasi pihak ketiga yang mengandungi kandungan berkaitan alkohol, temu janji atau kandungan dewasa yang lain (termasuk iklan) tanpa sekatan umur yang sesuai.
- Anda tidak dibenarkan menggunakan Facebook untuk melakukan apa-apa perkara yang salah di sisi undang-undang, mengelirukan, berniat jahat atau diskriminasi.
- Anda tidak dibenarkan melakukan apa-apa perkara yang boleh melumpuhkan, membebankan atau menjejaskan kerja atau penampilan Facebook, seperti penafian serangan perkhidmatan atau campur tangan dengan paparan halaman atau fungsi Facebook yang lain.
- Anda tidak dibenarkan memudahkan atau menggalakkan sebarang pelanggaran Pernyataan ini atau dasar kami.
- Pendaftaran dan Keselamatan Akaun
Pengguna Facebook memberikan nama dan maklumat mereka yang sebenar, dan kami memerlukan bantuan anda untuk mengekalkannya sedemikian. Berikut adalah beberapa komitmen yang anda buat kepada kami berkaitan pendaftaran dan pengekalan keselamatan akaun anda:- Anda tidak dibenarkan memberikan sebarang maklumat peribadi palsu di Facebook, atau mencipta akaun untuk seseorang selain daripada diri anda tanpa kebenaran.
- Anda tidak dibenarkan mencipta lebih daripada satu akaun peribadi.
- Jika kami menyahdayakan akaun anda, anda tidak dibenarkan mencipta yang lain tanpa kebenaran kami.
- Anda tidak dibenarkan menggunakan garis masa peribadi anda terutamanya untuk keuntungan komersial anda sendiri dan akan menggunakan Halaman Facebook untuk tujuan tersebut.
- Anda tidak dibenarkan menggunakan Facebook jika anda berumur di bawah 13 tahun.
- Anda tidak dibenarkan menggunakan Facebook jika anda disabitkan sebagai pesalah seks.
- Anda akan memastikan maklumat hubungan anda tepat dan terkini.
- Anda tidak dibenarkan berkongsi kata laluan anda (atau dalam kes pembangun sistem, kunci rahsia anda), membiarkan orang lain mengakses akaun anda atau melakukan sebarang perkara lain yang mungkin membahayakan keselamatan akaun anda.
- Anda tidak dibenarkan memindahkan akaun anda (termasuk sebarang Halaman atau aplikasi yang anda tadbir) kepada sesiapa tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada kami terlebih dahulu.
- Jika anda memilih nama pengguna atau pengecam yang serupa untuk akaun atau Halaman anda, kami mempunyai hak untuk membuang atau menuntutnya semula jika kami percaya ia adalah wajar (seperti apabila pemilik tanda dagangan membuat aduan mengenai nama pengguna yang tidak berkait rapat dengan nama sebenar pengguna).
- Melindungi Hak Orang Lain
Kami menghormati hak individu lain dan berharap anda melakukan perkara yang sama.- Anda tidak dibenarkan menyiarkan kandungan atau mengambil sebarang tindakan terhadap Facebook yang menyalahi atau melanggar hak orang lain ataupun sebaliknya melanggar undang-undang.
- Kami boleh mengeluarkan sebarang kandungan atau maklumat yang anda kirimkan di Facebook jika kami percaya ia melanggar Pernyataan ini atau dasar kami.
- Kami menyediakan alatan kepada anda untuk membantu anda melindungi hak harta intelektual anda. Untuk mengetahui lebih lanjut, lawati halaman Cara untuk Melaporkan Tuntutan Pelanggaran Harta Intelektual kami.
- Jika kami mengeluarkan kandungan anda kerana menyalahi hak cipta orang lain, dan anda percaya yang kami telah mengeluarkannya secara silap, kami akan memberikan anda peluang untuk merayu.
- Jika anda berterusan melanggar hak harta intelektual orang lain, kami akan menyahdayakan akaun anda dengan sewajarnya.
- Anda tidak dibenarkan menggunakan hak cipta atau Tanda dagangan kami atau sebarang tanda serupa yang mengelirukan, kecuali dengan dibenarkan secara jelas oleh Garis Panduan Penggunaan Jenama kami atau dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada kami.
- Jika anda mengumpul maklumat daripad pengguna, anda akan: mendapatkan persetujuan mereka, menjelaskan yang anda (dan bukannya Facebook) adalah orang yang mengumpulkan maklumat mereka dan menyiarkan dasar privasi yang menerangkan maklumat yang anda kumpul dan cara anda akan menggunakannya.
- Anda tidak dibenarkan menyiarkan dokumen pengenalan atau maklumat kewangan sensitif milik orang lain di Facebook.
- Anda tidak dibenarkan mengetag pengguna atau menghantar jemputan e-mel kepada bukan pengguna tanpa persetujuan mereka. Facebook menawarkan alat laporan sosial untuk membolehkan pengguna memberikan maklum balas mengenai pengetagan.
- Mudah Alih dan Peranti Lain
- Kami menyediakan perkhidmatan mudah alih kami secara percuma buat masa ini, tetapi sila ambil perhatian tentang yuran dan kadar biasa pembawa anda, seperti pemesejan teks dan caj data, masih lagi dikenakan.
- Sekiranya anda menukar atau menyahaktifkan nombor telefon mudah alih anda, anda akan mengemas kini maklumat akaun anda di Facebook dalam masa 48 jam untuk memastikan yang mesej anda tidak dihantar kepada orang yang menggunakan nombor lama anda.
- Anda memberikan persetujuan dan semua hak yang diperlukan bagi membolehkan pengguna menyegerakkan (termasuk melalui aplikasi) peranti mereka dengan sebarang maklumat yang mereka lihat di Facebook.
- Pembayaran
Jika anda membuat pembayaran di Facebook, anda bersetuju dengan Terma Pembayaran kami melainkan jika ia menyatakan bahawa terma lain terpakai.
- Peruntukan Khas yang Terpakai kepada Pembangun/Pengendali Aplikasi dan Laman Web
Jika anda seorang pembangun atau pengendali aplikasi Platform atau laman web atau jika anda menggunakan Pasang Masuk Sosial, anda perlu mematuhi Dasar Platform Facebook. - Mengenai Pengiklanan dan Kandungan Komersial Lain yang Disajikan atau Ditingkatkan oleh Facebook
Matlamat kami ialah menyampaikan pengiklanan atau kandungan atau penajaan kandungan komersial lain yang bernilai kepada pengguna dan pengiklan kami. Untuk membantu kami melakukannya, anda bersetuju dengan perkara berikut:- Anda memberikan kami keizinan untuk menggunakan nama, gambar profil, kandungan dan maklumat anda yang berkait dengan komersial, penajaan atau kandungan berkaitan (seperti jenama yang anda suka) yang disajikan atau ditingkatkan oleh kami. Ini bermakna, contohnya, anda membenarkan perniagaan atau entiti lain membayar kami untuk memaparkan nama dan/atau gambar profil anda dengan kandungan atau maklumat anda, tanpa sebarang pampasan kepada anda. Jika anda telah memilih khalayak khusus untuk kandungan atau maklumat anda, kami akan menghormati pilihan anda apabila kami menggunakannya.
- Kami tidak memberikan kandungan atau maklumat anda kepada pengiklan tanpa persetujuan anda.
- Anda memahami bahawa kami mungkin tidak sentiasa mengenal pasti perkhidmatan dan komunikasi berbayar seperti itu.
- Peruntukan Khas yang Terpakai kepada Pengiklan
Jika anda menggunakan antara muka penciptaan pengiklanan layan diri kami untuk penciptaan, penyerahan dan/atau penyampaian sebarang pengiklanan atau aktiviti komersial atau tajaan atau kandungan (secara kolektif, “Antara Muka Pengiklanan Layan Diri”), anda bersetuju dengan Terma Pengiklanan Layan Diri kami. Di samping itu, pengiklanan anda atau aktiviti komersial atau tajaan atau kandungan yang ditempatkan di Facebook atau rangkaian penerbit kami akan mematuhi Dasar Pengiklanan kami. - Peruntukan Khas yang Terpakai kepada Halaman
Jika anda mencipta atau mentadbir Halaman di Facebook, atau menjalankan promosi atau tawaran daripada Halaman anda, anda bersetuju dengan Terma Halaman kami.
- Peruntukan Khas yang Terpakai kepada Perisian
- Jika anda memuat turun atau menggunakan perisian kami, seperti produk perisian kendiri, aplikasi atau pasang masuk pelayar, anda bersetuju bahawa dari semasa ke semasa, perisian tersebut mungkin memuat turun dan memasang naik taraf, kemas kini dan ciri tambahan daripada kami untuk menambah baik, meningkatkan dan membangunkan perisian tersebut selanjutnya.
- Anda tidak dibenarkan mengubah suai, mencipta kerja terbitan, menyusun semula atau sebaliknya cuba untuk mendapatkan kod sumber daripada kami, kecuali anda dibenarkan secara jelas untuk berbuat demikian di bawah lesen sumber terbuka atau kami memberi anda kebenaran bertulis yang jelas.
- Pindaan
- Kami akan memberitahu anda sebelum kami membuat perubahan terhadap terma ini dan memberikan anda peluang untuk menyemak dan memberi komen ke atas terma yang disemak semula sebelum meneruskan penggunaan Perkhidmatan kami.
- Jika kami membuat perubahan pada dasar, garis panduan atau lain-lain terma yang dirujuk atau digabungkan dalam Pernyataan ini, kami akan menyediakan notis di Halaman Urus Tadbir Laman.
- Penggunaan Perkhidmatan Facebook yang berterusan oleh anda berikutan notis perubahan terma, dasar atau garis panduan kami, menunjukkan penerimaan anda terhadap pindaan terma, dasar atau garis panduan kami.
- Penamatan
Jika anda melanggar Pernyataan ini secara tersurat atau tersirat, atau sebaliknya mewujudkan risiko atau kemungkinan pendedahan undang-undang ke atas kami, kami boleh berhenti menyediakan semua atau sebahagian daripada Facebook kepada anda. Kami akan memaklumkan anda melalui e-mel atau ketika anda cuba mengakses akaun anda pada kali yang seterusnya. Anda juga boleh memadamkan akaun anda atau menyahdayakan aplikasi anda pada bila-bila masa. Dalam semua kes yang sedemikian, Pernyataan ini akan ditamatkan, tetapi peruntukan berikut masih terpakai: 2.2, 2.4, 3-5, 9.3 dan 14-18.
- Pertikaian
- Anda akan menyelesaikan sebarang tuntutan, kuasa tindakan atau pertikaian (tuntutan) anda dengan kami yang timbul daripada atau berkaitan dengan Pernyataan ini atau Facebook secara eksklusif di Mahkamah Daerah A.S. untuk Daerah Utara California atau mahkamah negeri yang terletak di Daerah San Mateo, dan anda bersetuju untuk menyerahkan kepada bidang kuasa peribadi mahkamah tersebut bagi tujuan perbicaraan semua tuntutan tersebut. Undang-undang Negeri California akan mentadbir Pernyataan ini, serta sebarang tuntutan yang mungkin timbul antara anda dan kami, tanpa mengambil kira konflik peruntukan undang-undang.
- Jika sesiapa membuat tuntutan terhadap kami berkaitan dengan tindakan anda, kandungan atau maklumat di Facebook, anda akan membayar ganti rugi dan tidak meminta kami bertanggungjawab terhadap dan bagi semua kerosakan, kerugian dan perbelanjaan dalam apa jua bentuk (termasuk yuran dan kos guaman yang munasabah) yang berkaitan dengan tuntutan itu. Walaupun kami menyediakan peraturan untuk tingkah laku pengguna, kami tidak mengawal atau mengarah tindakan pengguna di Facebook dan tidak bertanggungjawab terhadap kandungan atau maklumat yang dipindahkan atau dikongsi oleh pengguna di Facebook. Kami tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan atau maklumat yang menyinggung, tidak sesuai, tidak senonoh, menyalahi undang-undang atau tidak disenangi yang mungkin anda hadapi di Facebook. Kami tidak bertanggungjawab terhadap tingkah laku, sama ada dalam talian atau luar talian oleh mana-mana pengguna Facebook.
- KAMI CUBA MEMASTIKAN FACEBOOK SENTIASA TERSEDIA, BEBAS RALAT DAN SELAMAT TETAPI ANDA MENGGUNAKANNYA ATAS RISIKO ANDA SENDIRI. KAMI MENYEDIAKAN FACEBOOK SEBAGAIMANA ADANYA TANPA SEBARANG JAMINAN TERSURAT ATAU TERSIRAT TERMASUK, TETAPI TIDAK TERHAD KEPADA, JAMINAN TERSIRAT BAGI KEBOLEHDAGANGAN, KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU DAN BUKAN PELANGGARAN. KAMI TIDAK MENJAMIN BAHAWA FACEBOOK AKAN SENTIASA SELAMAT, TERJAMIN DAN BEBAS RALAT ATAU FACEBOOK SENTIASA BERFUNGSI TANPA GANGGUAN, KELEWATAN ATAU KETIDAKSEMPURNAAN. FACEBOOK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP TINDAKAN, KANDUNGAN, MAKLUMAT ATAU DATA PIHAK KETIGA, DAN ANDA MELEPASKAN KAMI, PENGARAH, PEGAWAI, PEKERJA DAN EJEN KAMI DARIPADA SEBARANG TUNTUTAN DAN GANTI RUGI, YANG DIKETAHUI DAN TIDAK DIKETAHUI, YANG TIMBUL AKIBAT ATAU DALAM APA CARA SEKALIPUN BERKAITAN DENGAN SEBARANG TUNTUTAN YANG ANDA ADA TERHADAP MANA-MANA PIHAK KETIGA SEUMPAMANYA. JIKA ANDA ADALAH PENDUDUK CALIFORNIA, ANDA MENGETEPIKAN KOD SIVIL CALIFORNIA §1542, YANG MENYATAKAN: PELEPASAN UMUM TIDAK MELIPUTI TUNTUTAN YANG PEMIUTANG TIDAK DIKETAHUI ATAU DISYAKI WUJUD YANG MENYEBELAHINYA PADA KETIKA MELAKSANAKAN PELEPASAN, YANG MANA JIKA DIKETAHUI OLEHNYA MESTI TELAH MENJEJASKAN SECARA MATERIAL PENYELESAIAN HUTANG DENGAN PENGHUTANG. KAMI TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS ANDA UNTUK SEBARANG KEHILANGAN KEUNTUNGAN ATAU GANTI RUGI TURUTAN, KHAS, TIDAK LANGSUNG, ATAU SAMPINGAN LAIN YANG TIMBUL DARIPADA ATAU BERHUBUNG DENGAN PERNYATAAN INI ATAU FACEBOOK, WALAUPUN KAMI TELAH DINASIHATKAN TENTANG KEMUNGKINAN KEROSAKAN TERSEBUT. LIABILITI AGREGAT KAMI YANG TIMBUL DARIPADA PERNYATAAN INI ATAU FACEBOOK TIDAK AKAN MELEBIHI DARIPADA SATU RATUS DOLAR ($100) ATAU JUMLAH YANG ANDA TELAH BAYAR KEPADA KAMI DALAM TEMPOH DUA BELAS BULAN YANG LEPAS. UNDANG-UNDANG BERKAITAN TIDAK MEMBENARKAN PENGEHADAN ATAU PENGECUALIAN LIABILITI ATAU GANTI RUGI SAMPINGAN ATAU TURUTAN, MAKA PENGEHADAN ATAU PENGECUALIAN DI ATAS TIDAK TERPAKAI KEPADA ANDA. DALAM KES SEDEMIKIAN, LIABILITI FACEBOOK AKAN TERHAD SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG.
- Peruntukan Khas yang Terpakai kepada Pengguna Di Luar Amerika Syarikat
Kami berusaha untuk mewujudkan masyarakat global dengan standard yang konsisten untuk semua orang, tetapi kami juga berusaha untuk menghormati undang-undang tempatan. Peruntukan berikut terpakai kepada pengguna dan bukan pengguna yang berinteraksi dengan Facebook di luar Amerika Syarikat:- Anda bersetuju untuk membenarkan data peribadi anda dipindahkan dan diproses di Amerika Syarikat.
- Jika anda berada di negara yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat, atau dalam senarai Jabatan Perbendaharaan A.S. bagi Warganegara Yang Diperuntukkan Khas, anda tidak dibenarkan melibatkan diri dalam aktiviti komersial di Facebook (seperti pengiklanan atau pembayaran) atau mengendalikan aplikasi Platform atau laman web. Anda tidak dibenarkan menggunakan Facebook jika anda dilarang daripada menerima produk, perkhidmatan atau perisian yang berasal dari Amerika Syarikat.
- Terma khusus tertentu yang terpakai hanya untuk pengguna Jerman tersedia di sini.
- Takrifan
- Dengan “Facebook” atau “Perkhidmatan Facebook” kami maksudkan ciri-ciri dan perkhidmatan yang kami sediakan, termasuk melalui (a) laman web kami di www.facebook.com dan sebarang laman web berjenama atau jenama bersama Facebook yang lain (termasuk subdomain, versi antarabangsa, widget dan versi mudah alih); (b) Platform kami; (c) pasang masuk sosial seperti butang Suka, butang Kongsi dan tawaran lain yang serupa dan (d) media, jenama, produk, perkhidmatan, perisian (seperti bar alat), peranti atau rangkaian lain yang kini sedia ada atau yang dibangunkan kemudian. Facebook berhak untuk menetapkan, mengikut budi bicara mutlaknya, bahawa jenama, produk atau perkhidmatan tertentu yang tertakluk kepada terma yang berasingan dan bukan SRR ini.
- Dengan "Platform" kami maksudkan set API dan perkhidmatan (seperti kandungan) yang membolehkan orang lain, termasuk pembangun aplikasi dan pengendali laman web, untuk mendapatkan data daripada Facebook atau memberikan data kepada kami.
- Dengan "maklumat" kami maksudkan fakta dan maklumat lain mengenai anda, termasuk tindakan yang diambil oleh pengguna dan bukan pengguna yang berinteraksi dengan Facebook.
- Dengan "kandungan" kami maksudkan apa sahaja yang anda atau pengguna lain kirimkan, berikan atau berkongsi menggunakan Perkhidmatan Facebook.
- Dengan "data" atau "data pengguna" atau "data pengguna" kami maksudkan apa jua data, termasuk kandungan atau maklumat pengguna yang anda atau pihak ketiga boleh dapatkan daripada Facebook atau berikan kepada Facebook melalui Platform.
- Dengan "kirim" kami maksudkan kiriman di Facebook atau sebaliknya tersedia dengan menggunakan Facebook.
- Dengan "guna" kami maksudkan menggunakan, menjalankan, menyalin, melaksanakan atau memaparkan secara umum, mengedarkan, mengubah suai, menterjemah dan mencipta kerja terbitan.
- Dengan "aplikasi" kami maksudkan sebarang aplikasi atau laman web yang menggunakan atau mengakses Platform, serta apa sahaja yang lain yang menerima atau menerima data daripada kami. Jika anda tidak lagi mengakses Platform tetapi belum memadam semua data daripada kami, istilah aplikasi akan terpakai sehingga anda memadam data.
- Dengan “Tanda Dagangan” kami maksudkan senarai tanda dagangan yang disediakan di sini.
- Lain-lain
- Jika anda seorang penduduk atau mempunyai tempat utama perniagaan anda di AS atau Kanada, Pernyataan ini adalah satu perjanjian antara anda dan Facebook, Inc. Jika tidak, Pernyataan ini adalah satu perjanjian antara anda dan Facebook Ireland Limited. Rujukan kepada “kami,” “kita” dan “kami” bermaksud sama ada Facebook, Inc. atau Facebook Ireland Limited, sebagaimana yang sesuai.
- Pernyataan ini membentuk keseluruhan perjanjian antara pelbagai pihak berkaitan Facebook dan menggantikan mana-mana perjanjian sebelum ini.
- Jika mana-mana bahagian Pernyataan ini didapati tidak boleh dikuatkuasakan, bahagian yang tinggal akan terus berkuat kuasa dan berkesan sepenuhnya.
- Jika kami gagal menguatkuasakan mana-mana Pernyataan ini, ia tidak akan dianggap sebagai penepian.
- Apa-apa pindaan atau penepian Pernyataan ini mestilah dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh kami.
- Anda tidak dibenarkan memindahkan apa-apa hak atau kewajipan anda di bawah Pernyataan ini kepada orang lain tanpa kebenaran kami.
- Semua hak dan kewajipan kami di bawah Pernyataan ini adalah bebas diserah hak oleh kami berhubung dengan penggabungan, pemerolehan atau penjualan aset atau melalui kuat kuasa undang-undang atau sebaliknya.
- Tiada apa-apa dalam Pernyataan ini yang boleh menghalang kami daripada mematuhi undang-undang.
- Pernyataan ini tidak memberikan sebarang hak benefisiari pihak ketiga.
- Kami mempunyai semua hak yang tidak diberikan kepada anda.
- Anda dikehendaki mematuhi semua undang-undang yang berkenaan apabila menggunakan atau mengakses Facebook.
Dengan menggunakan atau mengakses Perkhidmatan Facebook, anda bersetuju bahawa kami boleh mengumpul dan menggunakan kandungan dan maklumat tersebut mengikut Dasar Data seperti yang dipinda dari semasa ke semasa. Anda juga mungkin ingin menyemak dokumen berikut, yang menyediakan maklumat tambahan mengenai penggunaan Facebook anda:
- Terma Pembayaran: Terma tambahan ini terpakai kepada semua pembayaran yang dibuat di Facebook atau melalui Facebook, melainkan jika ia menyatakan bahawa terma lain terpakai.
- Halaman Platform: Halaman ini membantu anda memahami dengan lebih baik apa yang berlaku apabila anda menambah aplikasi pihak ketiga atau menggunakan Facebook Connect, termasuk cara ia boleh mengakses dan menggunakan data anda.
- Dasar Platform Facebook: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai kepada aplikasi, termasuk laman Connect.
- Dasar Pengiklanan: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai kepada iklan yang ditempatkan di Facebook.
- Terma Pengiklanan Layan Diri: Terma ini terpakai apabila anda menggunakan Antara Muka Pengiklanan Layan Diri untuk mencipta, menyerah atau menyampaikan sebarang pengiklanan atau aktiviti komersial atau tajaan atau kandungan.
- Garis Panduan Promosi: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai jika anda menawarkan peraduan, cabutan bertuah dan jenis promosi lain di Facebook.
- Sumber Jenama Facebook: Garis panduan ini menggariskan dasar yang terpakai untuk menggunakan tanda dagangan, logo dan petikan skrin Facebook.
- Terma Halaman: Garis panduan ini terpakai untuk penggunaan Halaman Facebook anda.
- Standard Komuniti: Garis Panduan ini menggariskan jangkaan kami mengenai kandungan yang anda kirimkan di Facebook dan aktiviti anda di Facebook.